Sunday, August 22, 2010

Menjaga Perasaan..

Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika kamu bertiga maka janganlah dua daripada kamu bercakap-cakap meninggalkan yang ketiga kerana perbuatan begini akan mendukacitakannya.”
(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian
1. Apabila terdapat tiga orang berada dalam satu majlis maka tidak harus dua daripada mereka berbual dan meninggalkan yang ketiga. Perbuatan ini boleh menyebabkan orang yang ketiga berasa dukacita, gelisah dan menimbulkan buruk sangka kerana dirinya tidak dipedulikan.
2. Setiap manusia hendaklah memahami disiplin-disiplin dalam bergaul dan berinteraksi supaya tidak berlaku perkelahian dan pergaduhan.
3. Komunikasi yang berkesan adalah komunikasi yang menepati apa yang dimaksudkan bukan sesuatu yang samar-samar sehingga timbul berbagai fitnah dan cerita bohong yang diada-adakan hingga mengakibatkan perpecahan dan sebagainya.
4. Seorang muslim itu wajib menjauhi sebarang percakapan yang mengandungi unsur-unsur umpat keji, kata mengata dan sebagainya dan tidak menyibukkan diri dengan percakapan yang tidak berfaedah.

Jangan Kamu Marah..

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW yang maksudnya:” Berwasiatlah kepada ku.” Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu marah.” Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW:” Jangan kamu marah..”
(al-Bukhari)

Huraian
Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan.” Sesungguhnya kemarahan akan mengumpulkan segala keburukan. Reaksi seorang yang sedang marah dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. Ada kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain sebagai kafir dan lai-lain. Selain itu, seseorang itu juga akan melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul, menumbuk, menampar dan sebagainya. Semua ini berkemungkinan akan mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Justeru walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada segala sebab yang menyebabkan kemarahan.

Saturday, August 21, 2010

Menjaga Hati..

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”
Bukhari dan Muslim

Huraian
i) Diri manusia terbahagi kepada dua iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual tersebut termasuklah akal, nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, prilaku dan sikap seseorang dipengaruhi oleh hati.
ii) Hati dan perasaan haruslah dijaga dari sifat-sifat yang merosakkan. Ia hendaklah dipandu ke arah jalan yang betul berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Jika tidak, hati akan dikuasai oleh nafsu dan syaitan yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti hasad dengki, tamak, pemarah, riya’ dan sebagainya. Maka untuk membersihkan hati yang kotor hendaklah membiasakan diri dengan berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah.

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang dikurniakan sifat lemah lembut nescaya ia akan memperolehi kebaikan dalam semua hal.”
Riwayat Muslim

Huraian
1. Lemah-lembut adalah akhlak yang mulia yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada hamba-nya. Oleh itu orang yang memiliki sifat lemah lembut adalah orang yang sangat beruntung.
2. Melatih diri untuk dapat memiliki sifat mulia ini dapat dimulakan dengan menahan diri apabila marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak.
3. Orang yang lemah lembut melambangkan orang yang sentiasa sabar dan tenang (tidak tergesa-gesa). Namun sifat lemah lembut ini lebih baik diseiringkan dengan ketegasan agar seseorang itu tidak mudah dipermainkan atau diperbodohkan oleh orang lain.
4. Rasullullah s.a.w adalah contoh orang yang paling lemah-lembut dan paling baik dalam pergaulan. Sesiapa yang melihat baginda dari jauh akan berasa gentar tetapi sesiapa yang bercampur atau bergaul dengan baginda tentu akan menyayangi baginda disebabkan oleh sikap lemah lembut baginda itu.

Cinta Lahirkan Ketaatan..

Hadith :
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Demi Allah yang jiwa ku di tangan-Nya tidak beriman seseorang kamu sebelum aku menjadi orang yang lebih dikasihinya daripada bapanya dan anaknya.”
(al-Bukhari dan Muslim) ; Rujuk Mukhtasar Sahih al-Bukhari 14, Mukhtasar sahih Muslim 23)

Huraian
Orang-orang yang keras hati tidak akan mengenal kasih sayang, kurang peka perasaan, lagi tipis perikemanusiaannya. Berbeza halnya dengan orang yang dikurniakan Allah SWT dengan hati yang lembut, penuh kasih sayang lagi penuh kemurahan. Rasulullah SAW contohnya dikenali sebagai seorang yang penuh kasih sayang dan lembut hatinya. Sudahkah kita berusaha mengamal dan mencontohi sikap baginda yang sangat terpuji itu hingga cinta kita pada Rasulullah bukan sekadar cinta buta, tapi cinta yang melahirkan ketaatan pada Allah SWT dan sikap mulia dalam kehidupan kita sehari-hari? Jika direnung, tidak wajar kita mengatakan bahawa kita mencintai Rasulullah sedangkan dalam kehidupan seharian, kita sering melanggar nasihat-nasihat baginda? Kecintaan kita pada baginda selama ini cuma cinta bersahaja, bukan juga cinta biasa sebagaimana cinta kita kepada anak-anak atau manusia yang lain. Sedangkan kecintaan Rasulullah pada kita umatnya amat mendalam dan luar biasa, disebut-sebut oleh baginda hingga nafas yang terakhir!

Empat Kunci Kebahagiaan..

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”:Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.!”

Riwayat Ibnu Hibban

Huraian
i) Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:

a) Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.
b) Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.
c) Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.
d) Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.
ii) Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
iii) Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesiapa yang tidak mengasihi orang muda dan tidak mengenali hak orang tua maka bukan dari kalangan kami.”

Riwayat Abu Daud

Huraian
1. Orang beriman adalah mereka yang hidupnya saling hormat menghormati dan kasih mengasihi antara satu sama lain tanpa mengira usia, tua ataupun muda.
2. Orang yang gersang daripada sifat kasih sayang biasanya bersikap ganas dan kasar hingga akhirnya hidupnya menjadi terasing dan terpinggir daripada masyarakat.
3. Kekejaman berupa penderaan dan kekerasan terhadap golongan yang lemah sama ada terhadap kanak-kanak dan orang tua merupakan suatu perbuatan yang amat dibenci oleh agama kerana ia mempamerkan sifat zalim dan tidak berperikemanusiaan yang tidak sepatutnya ada pada diri seorang manusia yang dianugerahkan Allah dengan akal fikiran dan perasaan.